Rabu, 17 September 2008

Definisi Kesusasteraan

Tajuk ini tidak terdapat dalam sukatan pelajaran KM1 STPM. Walau bagaimanapun penulis menganggap ia mempunyai kaitan langsung dengan kajian seterusnya tentang Kesusasteraan Melayu Tradisional. Ali Ahmad : 1994 menyatakan Soal mencari definisi kesusasteraan merupakan salah satu perkara asas bagi ilmu kesusasteraan. Jika tidak pun ia bolehlah digunakan sebagai bacaan tambahan untuk pelajar-pelajar Kesusasteraan Melayu STPM.

APA ITU KESUSASTERAAN?

Persoalan ini bukanlah satu perkara mudah untuk dibicarakan tanpa bersandarkan kepada mana-mana tulisan sarjana. Ramai sarjana telah memberikan pendapat yang tidak kurang pentingnya kepada pengkaji dan pelajar kesusasteraan. Jika kita berpegang kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ali Ahmad "satu perkara asas bagi ilmu kesusasteraan" tentulah apapun yang ingin dikaji, dinilai dan dianalisis dalam bidang kesusasteraan memerlukan pemahaman yang mendalam terhadap maksud kesusasteraan itu dahulu. Faham makna kesusasteraan bererti menguasai asas kepada pengkajian kesusasteraan.

Hashim Awang (1987) mengatakan kesusasteraan itu adalah "Ciptan seni yang disampaikan melalui bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu disebut sastera lisan dan yang ditulis disebut sastera tulisan. Di samping itu, sastera pula memiliki keindahan dalam aspek-aspek isi atau daya pengucapannya.

Ali Ahmad (1994) menyusur lebih jauh ke dalam makna kesusasteraan dengan mengupas asal-usul kata sastera. Menurutnya "sastera berasal daripada bahasa Sanskrita castra, yang disebut syastra, yang bererti kitab suci. Susastera memberi erti seni sastera atau seni bahasa, dan secara umumnya dimaksudkan persuratan. Tambahan ke di awal dan an di akhir kata susastera menyimpulkan maksud yang terdekat, iaitu kesenian persuratan yang bersifat halus dan indah.

Seterusnya Hashim Awang et. al menghuraikan lagi maksud kata kesusasteraan dan menemui puncanya adalah daripada kata susastera. Kata susastera itu dipecahkan kepada dua bahagian iaitu su dan sastera.

Su dikatakan membawa maksud indah, baik, lebih berfaedah.
Sastera pula membawa maksud huruf atau buku.
Ke-susastera-an membawa maksud kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya.

Bagi Muhammad Hj Salleh (1995) kesusasteraan merujuk pada karya-karya lisan serta juga tulisan yang membawa unsur-unsur cereka dan disampaikan melalui bahasa dan berbagai-bagai perkataan.

Sebelum itu, pada zaman sebelum merdeka, seorang pendita Bahasa Melayu yang dikenali sebagai Za'ba mendefinisikan kesusasteraan itu sebagai persuratan atau karangan.

Pengertian seperti ini tentulah tidak mencakupi makna sebenar kesusasteraan yang ada pada masa kini. Ali Ahmad (1994) mengatakan Secara kasarnya sahaja definisi sedemikian dapat diterima, tetapi pemerhatian yang lebih tepat masih diperlukan.

Ali Ahmad (1994) telah membuka ruang yang luas dan segar dalam mencari maksud kesusasteraan melalui tulisannya Definisi Kesusasteraan di dalam buku Pengantar Pengajian Kesusasteraan (DBP). Perkara utama yang dikaitkan dengan kesusasteraan ialah kehalusan atau estetika dan bahasa. Sesungguhnya kesusasteraan itu adalah kehalusan penciptanya dan keinginan pembacanya mencari kehalusan itu. Kesusasteraan juga adalah keindahan bahasa yang muncul dari proses penciptaannya. Menurut Ali Ahmad keindahan penggunaan bahasalah yang menjadi asas bagi wujudnya hasil kesusasteraan.

Nota : Untuk lebih lanjut sila baca (Ali Ahmad : Pengantar Pengajian Kesusasteraan, DBP. Kuala Lumpur, 1994)