Isnin, 16 Februari 2009

Jenis Kesusasteraan Melayu Tradisional

Kesusasteraan Melayu Tradisional dapat dikelompokkan kepada dua kelompok utama iaitu:
1. Prosa Melayu Tradisional
2. Puisi Melayu Tradisional

Prosa Melayu Tradisional
Prosa boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk karangan yang panjang. Prosa tidak terbatas kepada cerita (naratif) sahaja tetapi termasuk juga karya-karya yang bukan cerita (bukan naratif/non-naratif). Oleh itu, karya-karya kesusasteraan Melayu yang panjang sama ada lisan atau tulisan
dikelompokkan sebagai prosa. Syarat utama ia boleh dikatakan sebagai kesusasteraan Melayu ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai alat penyampaian dalam karya-karya tersebut merangkumi seluruh nusantara.
Prosa Melayu tradisional berbentuk lisan dikenali juga sebagai sastera rakyat. Prosa tradisional dalam kesusasteraan Melayu boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :
1. Naratif
2. Bukan naratif
Prosa tradisional berbentuk naratif itu boleh dibahagikan pula kepada dua pecahan lagi iaitu naratif lisan dan naratif tulisan. Naratif lisan pula boleh dipecahkan lagi kepada tiga genre yang utama iaitu:
1. Mitos
2. Legenda
3. Cerita rakyat
* Cerita rakyat terangkum di dalamnya beberapa jenis cerita lagi seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita Lipur Lara dan cerita teladan.

Sementara itu naratif tulisan terbahagi kepada lima genre iaitu:
1. Sastera sejarah
2. Sastera hikayat
3. Sastera sastera panji
4. Sastera kepahlawanan / epik
5. Sastera agama

Prosa tradisional bukan naratif terdiri daripada empat genre iaitu :
1. Sastera undang-undang
2. Sastera kitab
3. Sastera ketatanegaraan
4. Kepustakaan ilmu tradisional
*Nota : penjelasan setiap genre prosa tradisional akan dibuat dalam tajuk penghayatan prosa tradisional.

Puisi Melayu Tradisional
Puisi merupakan kata pinjaman dari bahasa Indonesia yang digunakan secara meluas di Malaysia. Puisi adalah satu bentuk karangan berangkap yang terikat dengan peraturan sesuatu jenis puisi itu. Bahasa puisi adalah terhad dan padat tetapi makna yang cuba disampaikan adalah mendalam. Puisi mengungkapkan sesuatu yang abstrak kepada yang nyata.

Puisi Melayu tradisional juga boleh dibahagikan kepada dua pecahan iaitu:
1. Naratif
2. Bukan naratif

Puisi Melayu tradisional yang berbentuk naratif terdiri daripada genre Syair sahaja.

Manakala yang bukan naratif ialah :
1. Pantun
2. Gurindam
3. Endoi
4. Rejang
5. Dikir/Zikir
6. Rubai
7. Nazam
8. Masnawi
9. Ghazal
10. Berzanji
11. Qit'ah
12. Seloka
13. Teromba
14. Talibun
15. Peribahasa berangkap
16. Mantera
*Nota : pengertian setiap genre akan diberikan apabila mengkaji genre tersebut.

Ciri Kesusasteraan

Kesusasteraan Melayu Tradisional mempunyai ciri-ciri tersendiri yang terdiri daripada lima aspek yang diperturunkan di bawah ini:

Lisan
Ciri utama kesusasteraan Melayu tradisional adalah Lisan. Lisan dalam bahasa Arab maknanya lidah atau kata-kata. Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa kesusasteraan Melayu tradisional itu disampaikan secara lisan ataupun mediumnya adalah kata-kata ataupun pertuturan. Pada zaman tradisional pastilah wujud manusia-manusia yang berbakat besar dalam bidang kesusasteraan, yang mampu menghasilkan karya-karya prosa ataupun puisi. Pastilah juga dalam zaman tradisional yang bermula dengan animisme itu, tidak ada buku, pen, kertas dan sebagainya yang digunakan oleh sasterawan moden hari ini untuk menzahirkan karya mereka. Maka hanya cara tradisional sahajalah yang digunakan oleh 'sasterawan-sasterawan' zaman itu iaitu mengungkapkan karya mereka dengan cara percakapan atau penceritaan. Para sasterawan zaman tradisional, oleh kerana tidak mempunyai alat tulis menurunkan pula karya-karya mereka kepada anak cucu, saudara dan sahabat handai secara lisan agar ciptaan mereka itu tidak hilang begitu sahaja.

Tulisan
Apabila masyarakat Melayu mula menerima pengaruh Islam, mereka telah menerima juga bersama-sama sistem tulisan. Maka berlakulah satu perubahan besar dalam penghasilan karya kesusasteraan iaitu peralihan daripada lisan kepada tulisan. Satu perkara yang harus difahami dengan mendalam ialah kebolehan menulis lebih berpihak kepada golongan bangsawan yang berdekatan dengan pihak istana. Sedangkan golongan rakyat biasa masih kekal dengan kaedah lisan. Dengan itu lahirlah karya-karya kesusasteraan yang berpusatkan istana. Karya-karya kesusasteraan ini ditulis menggunakan tulisan jawi dan penciptaannya lebih kepada untuk memenuhi kehendak golongan istana.

Kreatif
Pada dasarnya karya kesusasteraan kreatif itu bermaksud karya-karya prosa dan puisi naratif dan non naratif. Oleh itu novel, cerpen, sajak, drama, prosa tradisional dan puisi tradisional merupakan kesusasteraan kreatif.

Bukan kreatif
Karya kesusasteraan bukan kreatif adalah karya-karya seperti esei, rencana dan sebagainya

Estetik
Estetik merujuk kepada keindahan hasil-hasil kesusasteraan yang dicipta oleh seseorang penulis.

Fungsi Kesusasteraan

Karya-karya kesusasteraan dihasilkan oleh pengarangnya bertujuan untuk dinikmati dan dihayati oleh khalayak. Khalayak adalah masyarakat yang menggunakan hasil-hasil kesusasteraan tersebut yang berhubungan langsung dengan pengarang. Bagi seseorang pengarang, amat perlu baginya untuk mengetahui jenis karya yang diperlukan oleh khalayak kerana pengetahuan pengarang akan menentukan apa yang dihasilkannya itu diterima atau tidak oleh khalayak. Dengan kata lain, pengetahuan pengarang itu merangkumi tujuan-tujuan khalayak menikmati dan menghayati karyanya dan sejauhmanakah karya itu memberikan fungsi yang tertentu kepada khalayak.

Sarjana kesusasteraan menyimpulkan bahawa sekurang-kurangnya
kesusasteraan mempunyai dua fungsi yang jelas:
1. Pendidikan/Pengajaran/Didaktik
2. Kepuasan estetik.

Kesusasteraan Berfungsi Sebagai Alat Pendidikan
Memang tidak dapat dinafikan bahawa karya-karya kesusasteraan sebenarnya sarat dengan unsur pendidikan/pengajaran/didaktik. Pengarang-pengarang yang menghasilkan sesuatu karya sastera merupakan sekumpulan manusia yang telah menimba banyak pengalaman. Pengalaman-pengalaman para pengarang ini diterjemahkan melalui kisah-kisah yang ditulis oleh mereka yang terangkum didalamnya pelbagai bidang ilmu seperti ekonomi, politik, sosiologi dan agama. Pengalaman mereka ini dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran,moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya. Apabila khalayak menikmati karya-karya mereka secara tidak langsung unsur pengajaran atau ilmu pengetahuan itu diserap oeh pembaca dan boleh membentuk personaliti pembaca ke arah kebaikan.

Kesusasteraan Berfungsi Memberi Kepuasan Estetik.
Apakah itu kepuasan estetik? Sebelum pergi lebih jauh, ada baiknya dicari dahulu maksud dan asal kata estetik. Dalam bahas Melayu estetik juga disebut estetika. Ia diambil dari kata Inggeris "aesthetic". Orang Inggeris juga sebenarnya meminjam perkataan tersebut daripada budaya Greek aisthanesthai yang boleh diertikan sebagai to preceive. Bernard Bosanquet menyatakan bahawa estetik adalah falsafah keindahan yang sudah bermula sejak zaman Greek, yang dimulai oleh Socrates.


Di dalam ensiklopedia internet Wikipedia mengatakan estetik merupakan kajian deria atau nilai deria - emosi
, ataupun timbangan sentimen dan cita rasa. Estetik merupakan subdisiplin aksiologi, sesuatu cabang falsafah dan sering dikaitkan dengan falsafah seni.

Hashim Awang mendefinisikan estetik dalam Glosari Mini Kesusasteraan sebagai "Kajian atau sains tentang keindahan dalam sastera atau seni lainnya.

Dengan maksud ringkas di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa kepuasan estetik adalah satu bentuk perasaan indah yang muncul sama ada dalam diri penulis ataupun pembaca. Penulis cerita akan merasa tenteram dan damai apabila mampu menghasilkan sesuatu cerita yang dapat menyentuh perasaannya dan juga pembaca dari segi isi ceritanya mahupun aspek-aspek lain penulisannya. Bagi pembaca pula, dengan membaca karya yang mempamerkan keindahan akan merasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dalam dirinya.