Jumaat, 26 September 2008

Kesusasteraan Tradisional

Kesusasteraan Tradisional merupakan himpunan karya-karya kesusasteraan dalam semua bentuk yang terhasil sejak manusia wujud tetapi tidak melepasi zaman selepas wujudnya mesin cetak. Kesusasteraan Tradisional muncul di kalangan masyarakat awal yang masih lagi primitif dan mengamalkan kepercayaan animisme. Ada pendapat yang mengatakan kemunculan tamadun awal manusia diiringi juga dengan kemunculan budaya kesusasteraan ke dalam tamadun tersebut. Contohnya dengan munculnya Tamadun Mesopotamia serentak dengan itu juga lahirlah karya-karya kesusasteraan hasil daripada kemunculan tamadun Mesopotamia seperti Epik Gilgamesh. Oleh itu dari segi sejarah, ternyata kesusasteraan telah muncul dan mewarnai kehidupan manusia sejak sekian lama. Perjalanan masa yang begitu lama dan lampau itulah yang menyebabkan apa sahaja hasil kesusasteraan yang ada pada masa dahulu disebut tradisional. Selepas munculnya mesin cetak lebih kurang dalam tahun 1800, karya kesusasteraan pun bertukar wajah daripada tradisional kepada moden.

Secara umumnya karya-karya kesusasteraan tradisional boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu lisan dan tulisan. Lisan bererti yang dituturkan dan tulisan maksudnya yang ditulis atau dibukukan. Kesusasteraan lisan lebih mewakili golongan bawahan seperti petani dan nelayan. Ia juga dikenali sebagai kesusasteraan rakyat. Manakala sastera tulisan pula adalah ciptaan golongan pemerintah selepas kemunculan sistem tulisan dalam sesebuah masyarakat itu.

*Nota: Tajuk ini adalah sebagai rangsangan dan pengetahuan sedia ada sahaja dan akan disentuh dengan lebih mendalam dalam tajuk Kesusasteraan Melayu Tradisional.