Isnin, 16 Februari 2009

Ciri Kesusasteraan

Kesusasteraan Melayu Tradisional mempunyai ciri-ciri tersendiri yang terdiri daripada lima aspek yang diperturunkan di bawah ini:

Lisan
Ciri utama kesusasteraan Melayu tradisional adalah Lisan. Lisan dalam bahasa Arab maknanya lidah atau kata-kata. Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa kesusasteraan Melayu tradisional itu disampaikan secara lisan ataupun mediumnya adalah kata-kata ataupun pertuturan. Pada zaman tradisional pastilah wujud manusia-manusia yang berbakat besar dalam bidang kesusasteraan, yang mampu menghasilkan karya-karya prosa ataupun puisi. Pastilah juga dalam zaman tradisional yang bermula dengan animisme itu, tidak ada buku, pen, kertas dan sebagainya yang digunakan oleh sasterawan moden hari ini untuk menzahirkan karya mereka. Maka hanya cara tradisional sahajalah yang digunakan oleh 'sasterawan-sasterawan' zaman itu iaitu mengungkapkan karya mereka dengan cara percakapan atau penceritaan. Para sasterawan zaman tradisional, oleh kerana tidak mempunyai alat tulis menurunkan pula karya-karya mereka kepada anak cucu, saudara dan sahabat handai secara lisan agar ciptaan mereka itu tidak hilang begitu sahaja.

Tulisan
Apabila masyarakat Melayu mula menerima pengaruh Islam, mereka telah menerima juga bersama-sama sistem tulisan. Maka berlakulah satu perubahan besar dalam penghasilan karya kesusasteraan iaitu peralihan daripada lisan kepada tulisan. Satu perkara yang harus difahami dengan mendalam ialah kebolehan menulis lebih berpihak kepada golongan bangsawan yang berdekatan dengan pihak istana. Sedangkan golongan rakyat biasa masih kekal dengan kaedah lisan. Dengan itu lahirlah karya-karya kesusasteraan yang berpusatkan istana. Karya-karya kesusasteraan ini ditulis menggunakan tulisan jawi dan penciptaannya lebih kepada untuk memenuhi kehendak golongan istana.

Kreatif
Pada dasarnya karya kesusasteraan kreatif itu bermaksud karya-karya prosa dan puisi naratif dan non naratif. Oleh itu novel, cerpen, sajak, drama, prosa tradisional dan puisi tradisional merupakan kesusasteraan kreatif.

Bukan kreatif
Karya kesusasteraan bukan kreatif adalah karya-karya seperti esei, rencana dan sebagainya

Estetik
Estetik merujuk kepada keindahan hasil-hasil kesusasteraan yang dicipta oleh seseorang penulis.