Isnin, 16 Februari 2009

Fungsi Kesusasteraan

Karya-karya kesusasteraan dihasilkan oleh pengarangnya bertujuan untuk dinikmati dan dihayati oleh khalayak. Khalayak adalah masyarakat yang menggunakan hasil-hasil kesusasteraan tersebut yang berhubungan langsung dengan pengarang. Bagi seseorang pengarang, amat perlu baginya untuk mengetahui jenis karya yang diperlukan oleh khalayak kerana pengetahuan pengarang akan menentukan apa yang dihasilkannya itu diterima atau tidak oleh khalayak. Dengan kata lain, pengetahuan pengarang itu merangkumi tujuan-tujuan khalayak menikmati dan menghayati karyanya dan sejauhmanakah karya itu memberikan fungsi yang tertentu kepada khalayak.

Sarjana kesusasteraan menyimpulkan bahawa sekurang-kurangnya
kesusasteraan mempunyai dua fungsi yang jelas:
1. Pendidikan/Pengajaran/Didaktik
2. Kepuasan estetik.

Kesusasteraan Berfungsi Sebagai Alat Pendidikan
Memang tidak dapat dinafikan bahawa karya-karya kesusasteraan sebenarnya sarat dengan unsur pendidikan/pengajaran/didaktik. Pengarang-pengarang yang menghasilkan sesuatu karya sastera merupakan sekumpulan manusia yang telah menimba banyak pengalaman. Pengalaman-pengalaman para pengarang ini diterjemahkan melalui kisah-kisah yang ditulis oleh mereka yang terangkum didalamnya pelbagai bidang ilmu seperti ekonomi, politik, sosiologi dan agama. Pengalaman mereka ini dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran,moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya. Apabila khalayak menikmati karya-karya mereka secara tidak langsung unsur pengajaran atau ilmu pengetahuan itu diserap oeh pembaca dan boleh membentuk personaliti pembaca ke arah kebaikan.

Kesusasteraan Berfungsi Memberi Kepuasan Estetik.
Apakah itu kepuasan estetik? Sebelum pergi lebih jauh, ada baiknya dicari dahulu maksud dan asal kata estetik. Dalam bahas Melayu estetik juga disebut estetika. Ia diambil dari kata Inggeris "aesthetic". Orang Inggeris juga sebenarnya meminjam perkataan tersebut daripada budaya Greek aisthanesthai yang boleh diertikan sebagai to preceive. Bernard Bosanquet menyatakan bahawa estetik adalah falsafah keindahan yang sudah bermula sejak zaman Greek, yang dimulai oleh Socrates.


Di dalam ensiklopedia internet Wikipedia mengatakan estetik merupakan kajian deria atau nilai deria - emosi
, ataupun timbangan sentimen dan cita rasa. Estetik merupakan subdisiplin aksiologi, sesuatu cabang falsafah dan sering dikaitkan dengan falsafah seni.

Hashim Awang mendefinisikan estetik dalam Glosari Mini Kesusasteraan sebagai "Kajian atau sains tentang keindahan dalam sastera atau seni lainnya.

Dengan maksud ringkas di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa kepuasan estetik adalah satu bentuk perasaan indah yang muncul sama ada dalam diri penulis ataupun pembaca. Penulis cerita akan merasa tenteram dan damai apabila mampu menghasilkan sesuatu cerita yang dapat menyentuh perasaannya dan juga pembaca dari segi isi ceritanya mahupun aspek-aspek lain penulisannya. Bagi pembaca pula, dengan membaca karya yang mempamerkan keindahan akan merasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dalam dirinya.