Isnin, 12 September 2011

Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional 1

Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional merujuk kepada tiga aspek penting iaitu :

1. Tahap
2. Tokoh, dan;
3. Persoalan dan Latar Masyarakat

Tahap

Pengkajian terhadap tahap sebenarnya melihat semula kepada jenis kesusasteraan Melayu tradisional daripada kedua-dua cabang iaitu lisan dan tulisan. Kedua-dua jenis kesusasteraan ini dilihat dari segi zaman kemunculannya. Sekurang-kurangnya ada empat tahap atau fasa dalam perkembangan kesusasteraan lisan iaitu:

1. Tahap Pertama - zaman animisme
2. Tahap kedua - zaman praIslam
i) berunsur hindu (atau terdapat unsur buddha)

ii) berunsur hindu-Islam (atau Zaman Peralihan)

3. Tahap Ketiga - zaman Islam berunsur Islam.

Tahap Pertama - animisme
Kesusasteraan rakyat atau kesusasteraan lisan merupakan bentuk kesusasteraan yang tertua di dunia
. Sastera lisan muncul sejak zaman animisme lagi. Sastera lisan juga dikenali sebagai sastera rakyat. Istilah ini diambil daripada istilah Inggeris folk literature. Di dalam Ensiklopedia Britannica disebut juga sebagai folklore atau oral tradition. Kutipan berikut boleh memberi penjelasan tambahan tentang folk literature;

"Until about 4000 bc all literature was oral; but, beginning in the years between 4000 and 3000 bc, writing developed both in Egypt  and in the Mesopotamian civilization at Sumer. From that time on there are records not only of practical matters such as law and business but increasingly of written literature. As the area in which the habitual use of writing extended over Asia, North Africa, and the Mediterranean lands and eventually over much of the whole world, a rapid growth in the composition of written literature occurred, so that in certain parts of the world, literature in writing has to a large extent become the normal  form of expression for storytellers and poets."

Ia dinamakan kesusasteraan rakyat kerana karya yang dihasilkan adalah milik bersama masyarakat dengan penciptanya. Kesusasteraan rakyat dinamakan kesusasteraan lisan kerana ia disampaikan secara lisan. Kini, kemajuan teknologi telah menghasilkan buku-buku cetakan yang memuatkan hasil-hasil lisan ini. Tetapi bukan bermakna ia lari daripada sifat lisannya, malah sifat lisan itu masih boleh ditemui melalui bahasa dan teknik penyampaiannya.

Golongan masyarakat yang manakah atau masyarakat Melayu
kelas manakah yang menghasilkan karya sastera lisan ini? Mereka ini adalah daripada kelas rakyat biasa yang lazimnya menjalankan aktiviti ekonomi yang mudah seperti petani dan kaum nelayan. Rakyat biasa tinggal menetap di kawasan-kawasan pedalaman, desa-desa dan pinggir laut. Oleh itu mereka tidak terdedah kepada pengaruh luar. Bermakna pada waktu itu penjajahan barat masih belum berlaku.

Rakyat biasa yang hidup secara simple atau mudah ini juga menghasilkan karya sastera yang simple. Organisasi hidup yang demikian menghasilkan karya-karya seperti mitos, legenda dan cerita rakyat yang semuanya menggambarkan pandangan alam atau world view masyarakat Melayu pada masa itu. Oleh itu tidaklah menghairankan jika cara berfikir mereka yang primitif itu membawa kepada penghasilan karya sastera yang berkaitan dengan kepercayaan kepada makhluk halus, kesaktian, roh dan lain-lain lagi.




Masyarakat yang bersifat sedemikian tentulah juga menghasilkan karya-karya yang bersifat mudah sesuai dengan kedudukan dan keadaan mereka. lazimnya karya-karya masyarakat seperti ini bertolak kepada lima genre cerita yang biasa ditemui iaitu Mitos, Legenda, Cerita Binatang, Cerita Jenaka, Cerita Lipur Lara dan Cerita Teladan. 

Tahap Kedua - Zaman Pra-Islam

Tahap kedua ialah zaman Pra-Islam. Zaman Pra-Islam boleh dipecahkan kepada dua iaitu lahirnya karya-karya berunsur Hindu (atau mungkin berunsur buddha) dan karya-karya berunsur hindu-Islam (zaman hindu-Islam juga dikenali sebagai zaman peralihan). Ia di katakan bermula lebih kurang dalam abad keempat Masihi hingga ke 11 Masihi. Pada waktu itu kebudayaan hindu telah meresap masuk ke dalam sistem pemerintahan dan kesusasteraan masyarakat di Nusantara. Pengaruh hindu datang bersama-sama dengan bahasa Sanskrit yang secara langsung memberi pengaruh yang besar kepada bahasa Melayu dan sastera Melayu. 



Karya-karya kesusasteraan yang dihasilkan pada zaman Pra-Islam berunsur hindu bertolak kepada karya-karya yang bersandar kepada ajaran agama Hindu semata-mata. Teras kepada karya-karya sastera Melayu yang berunsur Hindu ialah epik Ramayana dan Mahabrata. Melalui pengaruh karya ini lahirlah karya-karya seperti Hikayat Pandawa Lima, Hikayat Pandawa Jaya, Hikayat Seri Rama dan sebagainya.


Apabila agama Islam muncul di kepulauan Melayu, masyarakat Melayu beralih kepada ajaran Islam. Sungguhpun begitu, masih terdapat beberapa aspek dalam kebudayaan masyarakat Melayu yang masih dipengaruhi oleh ajaran agama Hindu termasuklah kesusasteraan. Sebagai melengkapi tebalnya pengaruh agama Hindu dalam kehidupan masyarakat Melayu maka muncullah karya-karya sastera yang masih ada pengaruh hindu seperti Hikayat Jaya Langkara, Hikayat Ahmad Muhammad dan lain-lain lagi. karya-karya ini pada asalnya berunsur hindu tetapi telah diubahsuai dengan memasukkan unsur-unsur Islam. Sebab itulah ia dikenali juga sebagai sastera zaman peralihan.


Tahap Ketiga

Tahap ketiga ialah zaman Islam. Kemunculan hasil-hasil kesusasteraan berunsur Islam dikatakan berpunca daripada kemasukan agama Islam ke Nusantara yang dipercayai bermula sejak abad pertama Hijrah. Agama Islam kemudian berkembang pesat di kepulauan Melayu pada abad ke-13 Masihi. Kemasukan agama Islam telah menyumbang kepada penghasilan karya-karya sastera yang lebih bernilai kerana karya-karya tersebut dapat dirakam dalam bentuk tulisan yang dibawa bersama-sama dengan kedatangan agama Islam. 



Pada tahap ini karya-karya yang dihasilkan memperlihatkan ciri-ciri ajaran Islam yang sepenuhnya dan seboleh-bolehnya tidak terdapat unsur-unsur asing seperti Hindu-Buddha. Menurut Siti Hawa Salleh (1993) karya-karya sastera berunsur Islam yang terkenal ialah Hikayat 1001 Malam, Hikayat Darmata'siah, Hikayat Qamar al-Zaman dan Hikayat Hassan Damsyik.


*Semua nota sejarah kesusasteraan Melayu Tradisional diambil daripada sumber-sumber internet dan pelajar-pelajar kesusasteraan Melayu beberapa tahun yang lalu. Oleh itu sumber secara tepat tidak dapat dinyatakan