Selasa, 13 September 2011

Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional 3

PERSOALAN DAN LATAR MASYARAKAT

Kesusasteraan dan masyarakat mempunyai hubungan yang amat erat. Sesebuah karya kesusasteraan dibina oleh persoalan-persoalan yang dipetik daripada rencamnya kehidupan sesuatu masyarakat. Pengarang atau pencipta akan menjalin persoalan-persoalan daripada kehidupan masyarakat tersebut hingga menjadikannya satu rantaian peristiwa yang mempunyai kesenimbungan antara satu sama lain dan akhirnya membentuk sebuah karya. Dalam usaha memasukkan persoalan-persoalan itu, pengarang secara langsung turut memasukkan gambaran latar masyarakat untuk menjadikan setiap persoalan itu signifikan dan relevan serta nampak realistik. Kajian ke atas persoalan dan latar masyarakat merujuk kepada:

(i)   Keagungan raja dan negara 
Satu perkara yang tidak boleh dinafikan dalam karya-karya tradisional Melayu ialah raja diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Keagungan raja dan negara diangkat menjadi persoalan utama dalam karya-karya kesusasteraan. Oleh itu, raja di diberikan gambaran-gambaran hebat termasuklah diwarnai dengan unsur-unsur dongeng dan mitos. Sejarah Melayu misalnya; mengaitkan nasab raja-raja Melaka dengan Iskandar Dzulkarnain dari Makadunia. Selain itu, keagungan raja juga digambarkan oleh pengarang-pengarang sastera Melayu tradisional melalui peristiwa yang dianggap penting. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa misalnya, terdapat peristiwa-peristiwa ajaib tentang proses pengislaman raja-rajanya. Misalnya, mereka bermimpi bertemu Nabi Muhammad, diludahi mulut mereka oleh Baginda dan tiba-tiba boleh mengucap dua kalimah syahadat dan juga kejadian brrkhatan melalui mimpi.

Dalam soal kenegaraan pula, bangsa Melayu mempunyai konsep khas untuk negeri(negara) Kewujudan sesebuah negeri hanya diiktiraf jika negeri itu mempunyai raja. Raja yang tidak bernegeri tidak diterima ke-raja-annya. Dengan kata lain, keagungan sesebuah negeri itu bergantung kepada kehebatan rajanya. Kewujudan sesebuah negeri dikaitkan dengan peristiwa aneh atau menakjubkan, misalnya pembukaan Melaka yang berdasarkan kejadian pelanduk menendang anjing perburuan Parameswara.

(ii)  Kepahlawanan
Persoalan ini menjadi inti utama sastera epik, sastera sejarah, sastera lisan dan sastera panji. Secara logiknya, sesebuah negeri tidak akan dapat mempertahankan kewujudannya tanpa kehadiran seorang pahlawan yang hebat dan terbilang. Kehebatan watak tradisional melibatkan gambaran ciri fizikal bentuk tubuh badan mereka dan ketangkasan mereka di medan pertempuran khususnya dalam pertarungan senjata, misalnya watak Hang Tuah, yang yang memiliki sifat kepahlawanan yang tiada tolok bandingnya. 

Selain itu, gambaran kehebatan dengan bantuan atau dengan ciri-ciri tambahan seperti penguasaan ilmu muslihat perang, dibekalkan senjata luar biasa atau sifat-sifat peribadi dan tabiat yang tertentu. Aspek kepahlawanan yang digambarkan dilihat atau dinilai berdasarkan kaca mata sezaman. Oleh sebab pada zaman itu kudrat fizikal adalah segala-galanya dalam usaha mempertahankan maruah diri dan bangsa umumnya,maka kecendurangan pengarang mengangkat watak-wataknya dengan segala keluarbiasaan dan kehebatan tidak relevan dengan latar sezamannya

(iii) Kesetiaan rakyat
Persoalan kesetiaan rakyat banyak diterapkan dalam karya-karya kesusasteraan Melayu tradisional. Setia menjadi satu persoalan pokok yang terpancar daripada cerita-cerita tradisional. Watak Hang Tuah  adalah lambang kesetiaan rakyat yang mutlak dan watak ini sebenarnya sekadar mewakili rakyat berketurunan Melayu dalam menyempurnakan waadat yang termeterai antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba seperti mana yang tercatat dalam Sejarah Melayu. Dalam episod itu, Demang Lebar Daun  bersumpah untuk menumpuhkan segala ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi kepada rajanya, manakala di pihak Sang Sapurba pula telah bersumpah jika keturunannya menganayai rakyat, akibatnya negara akan runtuh.
(iv)  Panduan untuk raja, pembesar, dan rakyat
Tanpa peraturan manusia akan hidup dalam keadaan terumbang-ambing dan tidak teratur. Peraturan dan hukum akan mengawal tingkah laku dan perbuatan manusia.  Satu lagi klasifakasi sastera Melayu tradisional ialah sastera ketatanegaraan yang dikarang khusus untuk memberikan panduan kepada raja, pembesar dan rakyat menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam hidup bermasyarakat, bernegara dan berbudaya. Dua buah karya utama dalam klasifikasi ini ialah Tajus salatin atau Mahkota Segala Raja-raja karangan Bukhari al-Jauhari dan Bustanus salatin atau Taman Segala Raja-raja karangan syeikh Nuruddin al-Raniri.
                                                        
Kewujudan kedua-dua buah karya ini jelas membuktikan bahawa dalam usaha membina sebuah kerajaan dan negara, antara prasyarat yang diperlukan ialah adanya panduan untuk mentadbir dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, sama ada sebagai raja, pembesar mahupun rakyat jelata. Kedatangan Islam ke alam Melayu telah menyedarkan  masyarakat Melayu akan perlunya satu panduan, khususnya tentang ilmu ketatanegaraan berlandaskan nilai dan norma yang dipersetujui bersama atas landasan agama Islam. 

Selain ditulis dalam kitab-kitab ketatanegaraan, pengarang-pengarang turut memuatkan panduan untuk Raja, pembesar dan rakyat secara tidak langsung dalam karya sastera lain. Contohnya yang terdapat dalam Sejarah Melayu. Selain itu pengarang turut menyelitkan kritikan halus sebagai panduan, misalnya tentang kegagalan peminangan Puteri Gunung Ledang yang menempelak juga kerakusan nafsu Sultan Mahmud Mahmud(dalam sejarah melayu)dan juga bencana yang menimpa Sultan Ahmad apabila membunuh puteranya sendiri(dalam Hikayat Raja-raja Pasai)

(v) Keagamaan dan kepercayaan
Bangsa Melayu melalui tiga fasa kepercayaan dan keagamaan, iaitu bermula dengan animisme, Hindu-Buddha dan Islam. Kesemuanya terpancar dalam hasil-hasil kesusasteraan. Kedatangan pengaruh agama dan budaya Islam ke alam Melayu telah mencorakkan satu bentuk sistem kepercayaan dan kebudayaan baru di kalangan masyarakat  Islam sebagai agama yang menyeluruh telah tersebar begitu pesat sekali sehinggakan dalam tempoh tidak sampai satu abad, hampir seluruh alam Melayu telah diislamkan. Kejayaan ini banyak bergantung pada strategi penyebaraan dan pendekatan yang digunakan oleh para pendakwah dan mubaligh Islam yang datang khususnya dari benua Arab dan India. 
Secara umumnya, selain persoalan keagamaan yang begitu dominan dalam karya-karya pengarang sastera Melayu tradisional khususnya selepas kedatangan Islam, unsur-unsur kepercayaan lain terus subur dalam hasil-hasil karya sastera melayu yang lain. Kepercayaan animisme misalnya tetap menjadi pilihan pengarang atau pencipta sesebuah karya.Persoalan ini banyak dilihat dalam cerita-cerita lisan seperti mitos, lagenda dan cerita rakyat. Antaranya cerita-cerita yang menonjolkan unsur sistem kepercayaan animisme misalnya cerita Asal Usul Dunia, cerita Semangat padi, cerita Badang dan cerita Langsuir.Unsur-unsur ini juga banyak terdapat dalam manifestasi jampi dan mantera serta ditemui dalam cerita-cerita penglipur lara, yang diselitkan dalam pengambaraan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh wira dan wirawati.

(vi) Pendidikan/moral
Hakikat bahawa sastera Melayu tradisional menjadi media pendidikan masyarakat pendidikan masyarakat Melayu lama adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi. Pada zaman tiada instutisi pendidikan yang formal ,selain terdidik daripada pengalaman sendiri, masyarakat juga dapat menimba ilmu pengetahuan dengan mendengar cerita dan pengalaman orang lain dalam kelompok asing. Disinilah terletak peranan pengarang atau pencipta hasil sastera zaman itu. 

Penyampaian mesej pendidikan dan moral dibuat dengan berhati-hati .Adalah penting bagi pengarang atau pencipta karya supaya memilih isu yang sesuai, bahasa yang berseni dan berlapik serta situasi pengucapan atau penyampaian yang tepat. Itulah sebabnya mesej-mesej pendidikan ini banyak disusun  dalam bentuk puisi termasuklah pantun, gurindam, seloka, peribahasa, masnawi, nazam, berzanji, rubai, rejang dan teromba. Bentuk puisi yang ternyata lebih ringkas berbanding prosa. Seseorang yang telah melakukan salah boleh dinasihati, disindir dan ditegur. Pengunaan diksi yang bersifat konotatif dalam puisi-puisi tersebut dapat mengurangkan kesan emosi terhadap seseorang yang ditegur.
(vii) Gambaran masyarakat
Secara keseluruhan, hasil-hasil sastera melayu tradisional adalah satu-satunya bentuk dokumentasi  yang boleh menjadi rujukan untuk melihat corak hidup dan gambaran masyarakat  zaman silamnya. Justeru tidak terdapat sebarang bentuk catatan kecuali  sedikit  sebanyak yang terpahat pada dinding gua, hasil-hasil sastera sama ada lisan atau bertulis merupakan sumber utama penelitian antropologi manusia Melayu.

Satu lagi perkara yang ketara tentang kecenderungan pengarang memasukkan gambaran masyarakat dalam karya mereka ialah untuk menjadikannya sebagai pedoman kepada generasi akan datang. Hal ini bersesuaian dengan motif penciptaan sesebuah karya sastera itu sendiri iaitu memberikan pedoman kepada masyarakat tentang nilai dan norma yang luhur dan wajar dipupuk merentasi batas zaman.